Kitaran saham terbahagi kepada 4 fasa menurut pembacaan saya dalam buku Volume Price Analysis.
Pengumpulan (Accumulation)
Kenaikan (Markup)
Mendatar (Distribution)
Penurunan (Markdown)
Setiap kaunter / company yang terdapat di Bursa Malaysia, mereka mempunyai jumlah unit-unit tertentu saham di apungkan di Bursa Malaysia. Bilangan unit-unit tersebut ibarat bilangan monyet di kampung, dihutan dan kawasan bukit.
Fasa Pengumpulan
Fasa pengumpulan bermula, apabila pihak smart money / sindiket / jerung mula mengumpulkan unit-unit monyet tersebut. Mereka menggoncang pasaran dengan berita-berita tertentu dan menjatuhkan harga saham dengan tujuan agar pemegang saham (penduduk kampung) menjual kepada mereka dengan harga yang murah.
Fasa pengumpulan berlaku untuk beberapa lama. Bergantung pada bilangan unit-unit saham pada kaunter tersebut. Jika kaunter tersebut tidak banyak unit saham, maka senanglah smart money ingin melambungkan harga sesuka hati.
Apabila fasa pengumpulan hampir berakhir, smart money perlu melakukan testing untuk memastikan segala bilangan unit-unit saham (monyet) telah habis dikutip. Ini untuk memastikan operasi mereka menaikkan harga monyet tersebut tidak diganggu oleh sebilangan orang kampung yang masih menyimpan monyet. Itulah dinamakan testing. Ada istilah lain ia disebut “spring” candlestick. Spring ini ibarat candlestick pattern Hammer yang mempunyai volume yang rendah. Itu petanda stok unit monyet sudah tiada di luar pasaran. Ibarat orang kaya meletakkan iklan notis. Itu untuk memastikan segala macam stok monyet telah habis dikutipnya.
WAKTU TERBAIK membeli saham ialah jika kita dapat mengesan pengakhiran Fasa Pengumpulan dan PERMULAAN Fasa Kenaikan.
Fasa kenaikan (Markup)
Fasa ini bermula, apabila smart money mula menjual unit-unit saham monyet tadi dengan harga lebih tinggi. Pada fasa ini terjadi “breakout” harga dengan volume yang tinggi. Volume tinggi kerana orang kampung beramai-ramai datang membeli monyet tersebut. Penjualan dilakukan dengan berhati-hati supaya kaunter tidak digantung kerana UMA (Unusual Market Activity). Ia juga untuk memastikan stok monyet tidak terus habis. Kerana target smart money ialah menjual unit-unit saham pada harga tertinggi. Mereka tak target 10% keuntungan, tetapi 100% keuntungan dan ke atas. Pada fasa kenaikan ini, berlaku jumpa fasa mini-accumulation. Di mana harga dijatuhkan kerana profit taking dan juga operasi oleh pihak smart money. Pada ketika inilah ramai terjual lebih awal, contohnya saya hehehe. Kerana ingatkan harga nak jatuh. Banyak berlaku, apabila kita jual harga terus naik, apabila kita beli, esoknya harga turun. Oleh itu, ilmu yang mantap perlu ada untuk mengetahui ianya adalah operasi smart money dengan melihat pergerakan harga dan volume. Stop loss seperti biasa wajib dijaga.
Fasa Mendatar (Distribution)
Harga unit-unit saham monyet dijual paling maksimum. Volume transaksi sangat tinggi, tetapi kenaikan harga hanya julat yang kecil. Pada waktu inilah terjadinya candlestick pattern Shooting star dengan volume sangat tinggi, ataupun Doji dengan volume sangat tinggi. Testing akan dilakukan untuk memastikan orang kampung membeli dengan maksimum segala stok monyet. Pada fasa ini, segala macam berita bagus akan keluar di suratkhabar tentang company tersebut. Akan tetapi, ramai menggila membeli unit-unit saham monyet. Pada fasa inilah, WAKTU TERBAIK untuk MENJUAL kerana smart money sedang gila menjual. Siapa terbeli / membeli / cari pasal membeli pada waktu ini, maka bala besar akan terjadi.
Fasa Penurunan (Markdown)
Pada waktu ini, berlaku penurunan harga, panik selling berlaku. Berita buruk tiba-tiba keluar. Orang ramai mulai takut. Tetapi ada juga yang sengal membeli pada waktu ini. Sentimen dunia, pasaran semasa tidak bagus untuk kaunter ini. Tiba-tiba company ini kena samanla. Nenek director meninggal la. Macam-macam berita akan keluar. Memaksa orang ramai menjual secara panik. Maka harga akan jatuh menjunam. Bahkan lebih laju dari kenaikan. Harga jatuh ke longkang.
Maka smart money / sindiket akan mengutip harga longkang. Hanya mereka tahu berapa harga longkang yang patut dikutip. Dan mereka merancang untuk memulakan fasa pengumpulan semula. Jeng jeng jeng !!!! Apabila segala kisah tentang company ini telah dilupakan.
Begitulah asas kitaran saham. Ianya sangat jijik dan meloyakan. Akan tetapi, ianya jual beli yang sah. Bahkan patuh syariah. Hakikatnya jika semua untung siapa yang rugi? Jika semua rugi siapa yang untung? Ada orang untung, tetapi di sana wajib ada orang yang rugi. Ia adalah Zero Sum Game.
Begitulah kitaran saham, dari perspektif pemahaman saya yang setahun jagung.
Saya menulis berkongsi maklumat di sini, agar ramai yang ingin terjun ke pasaran saham tahu perkara asas ini. Fasa kitaran saham ini wajib diketahui secara detail agar jiwa dan psikologi kental dengan ilmu yang diyakini. Apabila masuk pasaran saham dengan ilmu, maka risiko kerugian dapat dikurangkan. Potensi keuntungan dapat ditingkatkan.
Sebenarnya, untuk mengetahui secara detail kitaran saham ini, boleh lah membaca buku Volume Price Analysis – Anna Coulling.
No comments:
Post a Comment